Monday, March 15, 2010

SBPI Sabak Bernam, Tahniah!



54 calon SPM cemerlang

SHAH ALAM – Seramai 54 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 di negeri ini memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A+) semua mata pelajaran yang diduduki.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPS), Sulaiman Wak berkata, calon Cemerlang Tertinggi berkenaan antara 1,894 calon yang memperoleh gred cemerlang iaitu A+, A atau A- semua subjek.

Menurutnya, pada keseluruhannya, pencapaian calon SPM 2009 bertambah baik apabila seramai 57,117 calon (90.11 peratus) berjaya mendapat sijil SPM berbanding 52,656 (89.54 peratus) pada 2008 iaitu meningkat sebanyak 0.57 peratus.





“Gred Purata Negeri dalam peperiksaan SPM bagi Selangor ialah 5.07 berbanding 2008 (5.29), bermakna kuantiti pencapaian calon mendapat keputusan terbilang, cemerlang dan kepujian dalam mata pelajaran yang diambil bertambah.

“Selain itu dengan pengenalan sistem penggredan baru SPM telah dapat memperincikan lagi kecemerlangan calon apabila diperkenalkan gred yang lebih tinggi daripada gred 1A iaitu gred A+ (Cemerlang Tertinggi),” katanya semasa mengumumkan keputusan SPM 2009 di jabatan berkenaan, semalam.

Beliau berkata, bilangan calon cemerlang mengikut mata pelajaran diduduki ialah seorang calon memperoleh tujuh A kombinasi A+, A atau A-, tiga calon mendapat lapan A kombinasi, 14 calon mendapat sembilan A+, 21 calon mendapat 10 A+ dan seorang mendapat 15 A+ serta ramai lagi memperoleh kombinasi A.

“Seramai 14,536 pelajar berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred C (A+ hingga C) bagi semua mata pelajaran yang diduduki dalam SPM 2009, berbanding 12,391 tahun sebelumnya.

“Selain itu, seramai 677 calon gagal (gred G) dalam semua mata pelajaran yang mereka duduki berbanding 623 pada 2008,’ katanya.

Menurutnya, pencapaian sekolah di negeri ini berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengikut kategori pula antaranya 10 sekolah dikategorikan cemerlang (gred 0.00 – 2.25), 49 sekolah berada di kategori baik (gred 2.26 hingga 4.50), 189 sekolah mendapat tahap memuaskan (gred 4.51 hingga 6.75) dan tujuh sekolah dikategorikan sekolah berpotensi (gred 6.76 hingga 9.00).

“Sebanyak 10 sekolah cemerlang di Selangor yang mencapai GPS 0.00 hingga 2.25 adalah Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang (1.14), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak (1.25), SBP Integrasi Rawang (1.32), Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya (1.49), Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (1.55) dan SBP Integrasi Sabak Bernam (1.57).


“Selain itu Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (1.84), Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya (1.85), Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Kajang (2.05) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya (2.25),” katanya.

No comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Upgraded by-Zayani Syazwan